Sunday, March 21, 2010

LADANG RAKYAT SELARU, JOHOL

Salah satu usaha memajukan sektor pertanian di Johol di samping memberikan peluang kepada penduduk tempatan menceburi bidang pertanian ialah melalui projek LADANG RAKYAT yang terletak di Selaru, Johol. Terletak lebih kurang 8 km dari Pekan Johol (di belakang Sekolah Menengah Agama Sains Kuala Pilah, Selaru). Projek ini telah diilhamkan oleh YAB Menteri Bsar Negeri Sembilan. Projek seluas 12 hektar ini telah diusahakan oleh lima orang pengusaha. Infrastruktur asas dan bantuan-bantuan lain telah disalurkan melalui Jabatan Pertanian Negeri Sembilan dan Pejabat Daerah Kuala Pilah.
Projek ini telah dimulakan sejak tahun 2006 dengan tanaman sayur-sayuran. Antara sayur-sayuran yang ditanam di sini ialah sawi, terung, bendi, kailan, timun, kangkung, bayam dan kacang panjang. Sayur-sayuran ini adalah untuk jualan di pasaran tempatan sahaja.
Antara pengusaha-pengusaha yang mengusahakan tanaman di Ladang Rakyat ini ialah :
En. Mazlan bin Mohd. Tahir
En. Ali bin Tajid
En. Norazman bin Ismail
En. Wong Moon Foo
En. Chin Se Yen

PROJEK LEMBU FIDLOT RISDA DI JOHOL

Selain usaha memajukan pertanian seperti kebun sayur-sayuran, buah-buahan, kelapa sawit, tanaman cendawan, pisang, cili api, rebung dan juga usaha-usaha dibidang ternakan seperti ikan keli, ikan petutu, ikan talapia, kambing bour, memelihara ayam kampung, itik dan sebagainya, satu lagi usaha besar-besaran yang terdapat di Johol ialah PROJEK LEMBU FIDLOT bertempat di Ladang RISDA Inas, yang terletak di Selaru, Johol.
Projek di bawah kelolaan RISDA ini bertujuan membantu Pekebun Kecil yang berpendapatan rendah di NegerinSembilan amnya, untuk membantu menambah pendapatan melalui projek secara komersial. Projek ini terletak ditengah-tengah perkampungan Melayu di mana dikelilingi oleh kampung-kampung seperti Kg. Geduhom, Kg. Malan, Kg. Kepis Hilir, Kg.Seri Kepis, Kg. Bemban, Kg. Sg. Layang, Rumah Rakyat Selaru dan Rancangan FELCRA. Pintu masuk ke projek ini terletak bersebelahan Rumah Rakyat Selaru.
Projek Ternakan Lembu Fidlot ini bermaksud memelihara lembu secara intensif dalam kandang bertujuan untuk pengeluaran (jualan) lembu daging melalui peningkatan berat badan dengan memberi makanan yang bermutu untuk suatu tempoh tertentu. Projek anjuran RISDA ini adalah Projek Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) RISDA untuk tujuan menambah pendapatan pekebun Kecil Miskin Tegar yang dikenal pasti. RISDA telah memilih Ladang RISDA Inas sebagai tapak projek an melantik ESPEK LIVESTOCK Sdn Bhd sebagai agen pengurusannya. Projek ini telah dimukana sejak Julai 2007 dengan mendapat peruntukan awal sebanyak RM800,000.00 yang disalurkan daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLBW)
Setakat ini seramai 113 orang peserta telah dipilih yang terdiri daripada pekebun kecil miskin dan miskin tegar seluruh Negeri Sembilan. Kandang yang terdapat di sini boleh menampung sehingga 260 ekor lembu pada satu-satu masa atau pun satu pusingan. Kemasukan lembu-lembu bergantung kepada prestasi jualan. Setiap pusingan lembu akan dipelihara tidak melebihi 3 bulan. Jika ada permintaan, mungkin jualan akan dibuat lebih awal. Setiap peserta akan mendapat dividen daripada keuntungan projek yang akan di bayar 2 kali setahun. Pada tahun 2009 misalnya, sebanyak 521 ekor lembu telah dibeli, dipelihara dan dijual di sini.
Permintaan untuk lembu-lembu ini biasanya untuk tujuan majlis-majlis kenduri, majlis keramaian, peniaga pasar, sambutan perayaan dan untuk ibadah qurban. Setakat ini harga jualan (lembu hidup) ialah di antara RM7.00 hingga RM8.00 se kilogram dan dijual untuk tempatan sahaja. Di antara matlamat RISDA melalui projek ini ialah untuk mengeluarkan peserta daripada garis kemiskinan atau miskin tegar, menambah pendapatan atau mendapat hasil secara berterusan dan juga untuk melahirkan Usahawan Pekebun Kecil serta menyalurkan maklumat 'know how' kepada pekebun-pekebun kecil.
Pada 18 Mac 2010 yang lalu, YB Dato' Seri Mohd. Shafie Hj. Afdal, Menteri Kemajuan Luar Bandar da Wilayah telah melawat ke projek ini. Adalah diharapkan kepada penduduk tempatan khasnya di DUN Johol dapat memberikan sikongan terhadap projek ini dengan membeli lembu-lembu yang dijual di sini untuk kegunaan bagi majlis kenduri, qurban, perayaan dan sebagainya. Di samping membeli lembu-lembu tersebut kita juga secara tidak langsung dapat membantu golongan miskin dan miskin tegar.

PROJEK LEMBU FIDLOT DI JOHOL

JOHOL MAJU, AMAN, SEJAHTERA