Sunday, July 18, 2010

PELBAGAI PETUA DAN PANDUAN

TUJUH PERKARA MENGELAKKAN DARIPADA MUDAH LUPA/MENJADI PELUPA

- Elakkan minum air yang telah dimasuki semut
- Jangan kencing berdiri
- Jangan merenung atau memandang najis
- Jangan tidur dari zohor hingga melewati waktu asar
- Jangan suka membaca batu nisan di perkuburan
- Jangan suka makan organ dalaman spt hati, limpa dsb
- Jangan makan hasil daripada wang haram

MENGELAK SESEORANG DARIPADA BERFIKIRAN NEGATIF/SENTIASA
MENYALAHKAN ORANG LAIN
Jangan ajar anak-anak dengan mengatakan sesuatu yang elok sebagai tidak elok semata-mata kerana kita tidak dapat atau tidak mahu mendapatkannya apabila diminta oleh anak-anak,
misalnya: apabila anak minta belikan sesuatu barang permainan, oleh kerana kita tidak mampu membelikannya maka kita katakan barang permainan tersebut tidak elok atau tidak baik. Didiklah anak-anak suka kepada perkara baik dan benci kepada perkara buruk sejak dari kecil.

MENGATASI MASALAH MIGRAIN DAN SELSEMA/BERSIN WAKTU PAGI
Apabila mandi hendaklah mulakan daripada membasahkan badan dari kaki dan perlahan-lahan naik ke atas. Akhir sekali barulah membasahkan muka dan kepala. Ini terutamanya apabila mandi pada waktu subuh/pagi. Insya Allah jika diamalkan selalu, akan dapat mengatasi masalah di atas.

MENGATASI MASALAH CEPAT LETIH
Amalkan setiap pagi menarik nafas panjang-panjang melalui hidung seberapa banyak yang boleh, kemudian tahan nafas seberapa lama yang boleh, baru dilepaskan melalui mulut. Ulang beberapa kali. Elok dilakukan sebaik sahaja bangun dari tidur dalam keadaan duduk bersila. Jika diamalkan setiap pagi, Insya Allah badan akan rasa cergas, tidak cepat rasa letih, stamina akan lebih tahan malah kita akan rasa lebih rajin dan bertenaga.

SUPAYA BADAN LEBIH TAHAN/KUAT
Semasa makan jangan diselangseli dengan minum air. Sebaik-baiknya selepas makan terutama selepas makan nasi, jangan terus minum air. Ambil masa seberapa lama yang boleh misalnya lima atau sepuluh minit, barulah ambil minuman. Insya Allah.

Saturday, July 17, 2010

RUKUNTETANGGA DANGI (KRT) JOHAN PERINGKAT KEBANGSAAN 2010

Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Dangi, Johol telah menjadi Johan dalam Pertandingan Anugerah Pengurusan Rukuntetangga Peringkat Kebangsaan Tahun 2010 yang telah diumumkan di MITC Melaka pada Bulan Jun 2010 yang lalu. Menerima hadiah berupa wang berjumlah RM 10,000.00, Trofi dan Sijil Penghargaan.

Pada tahun 2008, KRT Dangi menjadi Naib Johan Peringkat Kebangsaan.

Menurut YB Dato' Roslan, di DUN Johol terdapat 5 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) iaitu :
KRT Pekan Johol - Pengerusi : YB Dato' Roslan Md Yusof
KRT Dangi - Pengerusi : En. Lim Ba Ba
KRT Selaru - Pengerusi : En. Razali Rasid
KRT Kepis - Pengerusi : En. Ahad Amin
KRT Air Mawang - Pengerusi : Hj. Mustapha Malek

KRT Dangi merupakan sebuah KRT yang aktif dan telah banyak menempa kejayaan di peringkat daerah, negeri dan juga kebangsaan. Ditubuhkan sejak 18 tahun yang lalu, KRT ini merupakan sebuah KRT yang terdiri daripada berbilang kaum iaitu Melayu, Cina dan India. Lebih unik lagi, bilangan kaum-kaum yang terdapat di Dangi ini hampir sama ramainya dan mereka hidup dalam suasana harmoni, bersatu padu dan saling bekerjasama.

Di bawah kepimpinan pengerusinya En. Lim Ba Ba ( juga Pengerusi JKKK Kg. Baru Dangi) dan naib pengerusinya En. Hashim Mohd Yusof (juga Pengerusi JKKK Kg. Geduhom) serta setiausahanya yang aktif dan rajin iaitu Pn. Norhayati Abdullah, KRT Dangi bertambah maju dan cemerlang.

KRT ini mempunyai sebuah bangunan sendiri yang dibina pada tahun 2004 untuk menjalankan pelbagai aktiviti. Antara aktiviti mingguan yang dijalankan ialah Senamrobik dan Taichi, kelas masakan, pasukan kawalan sukarela, latihan kompang dan sebagainya.

Sebagai meraikan kejayaan KRT Dangi yang menjadi Johan di kalangan lebih 4000 KRT seluruh negara, YB Dato' Roslan Md Yusof yang merupakan ADUN Johol telah mengadakan satu majlis meraikan kejayaan tersebut di samping menyampaikan sijil-sijil perlantikan kepada semua pengerusi dan AJK rukun tetangga seluruh DUN Johol. Majlis telah diadakan pada bulan Jun 2010 yang lalu di Dewan Orang Ramai Johol.

YB Dato' Roslan mengucapkan setinggi tahniah kepada KRT Dangi dan sungguh berbangga di atas kejayaan tersebut. Beliau berharap KRT Dangi akan terus maju dan terus mencapai kejayaan pada masa hadapan. Di samping itu, beliau berharap kejayaan KRT Dangi ini akan memberi suntikan semangat kepada KRT yang lain khasnya di DUN Johol untuk mengikut jejak KRT Dangi ini.

PERTANDINGAN FUTSAL PIALA MBNS PERINGKAT DUN JOHOL 2010

Pertandingan telah berlangsung pada 17 Julai 2010 (Sabtu) mulai Jam 9.00 pagi
di dua gelanggang futsal iaitu :
Gelanggang Futsal Taman Air Mawang
Gelanggang Futsal Dewan Orang Ramai Johol

Penyertaan :
Futsal Lelaki - 20 pasukan
Futsal Wanita - 5 pasukan

Keputusan :
Johan Futsal Lelaki - Pasukan Taman Air Mawang
Naib Johan - Malan B

Johan Futsal Wanita - Pasukan Tanggai
Naib Johan - Pasukan Tumang

Monday, July 12, 2010

BANTUAN JKM

Setiap bulan pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Pilah akan datang ke sepuluh tempat di DUN Johol untuk menyampaikan bantuan bulanan kepada penerima-penerima bantuan JKM. Tempat-tempat tersebut ialah :

1. Balai Raya Kepis Ulu
2. Balai Raya Kepis Hilir
3. Balai Raya Kepis Baru
4. Balai Raya Pekan Dangi
5. Balai Raya Malan
6. Balai Raya Pekan Dangi
7. Balai Raya Gating
8. Balai Raya Padang Jual (Dulu di Pejabat ADUN Johol)
9. Balai Raya Renggoh
10. Pejabat Agama Wilayah Johol (Air Mawang)

Setiap bulan sebanyak RM93,000.00 diagihkan kepada lebih 500 orang penerima bantuan JKM di seluruh DUN Johol. YB Dato' Roslan Hj. Md Yusof, ADUN Johol, kadang-kadang turut serta bersama-sama rombongan JKM menyampaikan bantuan tersebut di tempat-tempat yang dinyatakan di atas.

Bantuan wang tunai dari kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat ini diberi kepada penerima-penerima yang layak iaitu yang kurang mampu bertujuan untuk membantu mereka meringankan bebanan perbelanjaan hidup mereka setiap bulan. Diharap penerima-penerima bantuan akan menggunakan bantuan ini dengan sebaik-baiknya. Diharap juga penerima-penerima bantuan ini sentiasa bersyukur dengan bantuan yang diterima dan berterima kasih kepada pihak kerajaan.

Saturday, July 10, 2010

ANAK ANGKAT PTD BUKIT KIARA

Seramai 16 orang anak angkat (PTD lantikan baru) telah ditempatkan di sekitar kampung-kampung di DUN Johol. Mereka menjalani program 'Modul Kajian Lapangan Diploma Pengurusan Awam INTAN'. Mereka terdiri dari 7 wanita dan 9 lelaki. Seorang peserta kaum Cina dan seorang peserta dari kaum Bumiputera Sabah. Mereka tinggal bersama keluarga angkat selama dua minggu iaitu dari 22 Jun 2010 hingga 6 Julai 2010.

Selama berada bersama-sama keluarga angkat masing-masing, mereka telah menyertai pelbagai aktiviti yang telah dijalankan di kampung-kampung seperti program gotong-royong, pertandingan memancing, pertandingan futsal, lawatan ke Rumah Kasih Ulu Inas, program-program masjid, program pemeriksaan kesihatan, program motivasi pelajar di Sek. Men. Keb. Datuk Undang Abdul Manap, Johol dan sebagainya. Selain itu, mereka juga dapat mengetahui dan memahami sedikit sebanyak berkaitan dengan sistem Adat Perpatih yang diamalkan oleh penduduk Negeri Sembilan kerana kesemua peserta tersebut adalah berasal dari luar Negeri Sembilan.

Satu majlis ramah mesra dan perpisahan bersama ADUN Johol telah diadakan di kediaman beliau pada 5 Julai 2010 jam 8.30 malam. Kesemua 16 orang peserta bersama ibu bapa dan keluarga angkat masing-masing telah hadir ke majlis tersebut. Pada majlis tersebut juga, para peserta diperkenalkan dengan sejenis kuih iaitu kuih 'Apam Johol' yang pernah dipromosikan oleh ADUN Johol sendiri.

Dalam ucapan beliau pada malam tersebut, YB Dato' Roslan berharap semua peserta akan menjadikan pengalaman tinggal bersama keluarga angkat sebagai satu pengalaman yang akan menjadi ingatan dan kenangan. Selain itu, pengalaman tersebut juga boleh dijadikan panduan dan pengajaran apabila keluar berkhidmat kepada masyarakat nanti kerana peserta telah melihat sendiri dengan lebih dekat segala permasalahan, kesulitan dan sebagainya di dalam kehidupan masyarakat khasnya masyarakat luar bandar.

JOHOL MAJU, AMAN, SEJAHTERA