Saturday, July 10, 2010

ANAK ANGKAT PTD BUKIT KIARA

Seramai 16 orang anak angkat (PTD lantikan baru) telah ditempatkan di sekitar kampung-kampung di DUN Johol. Mereka menjalani program 'Modul Kajian Lapangan Diploma Pengurusan Awam INTAN'. Mereka terdiri dari 7 wanita dan 9 lelaki. Seorang peserta kaum Cina dan seorang peserta dari kaum Bumiputera Sabah. Mereka tinggal bersama keluarga angkat selama dua minggu iaitu dari 22 Jun 2010 hingga 6 Julai 2010.

Selama berada bersama-sama keluarga angkat masing-masing, mereka telah menyertai pelbagai aktiviti yang telah dijalankan di kampung-kampung seperti program gotong-royong, pertandingan memancing, pertandingan futsal, lawatan ke Rumah Kasih Ulu Inas, program-program masjid, program pemeriksaan kesihatan, program motivasi pelajar di Sek. Men. Keb. Datuk Undang Abdul Manap, Johol dan sebagainya. Selain itu, mereka juga dapat mengetahui dan memahami sedikit sebanyak berkaitan dengan sistem Adat Perpatih yang diamalkan oleh penduduk Negeri Sembilan kerana kesemua peserta tersebut adalah berasal dari luar Negeri Sembilan.

Satu majlis ramah mesra dan perpisahan bersama ADUN Johol telah diadakan di kediaman beliau pada 5 Julai 2010 jam 8.30 malam. Kesemua 16 orang peserta bersama ibu bapa dan keluarga angkat masing-masing telah hadir ke majlis tersebut. Pada majlis tersebut juga, para peserta diperkenalkan dengan sejenis kuih iaitu kuih 'Apam Johol' yang pernah dipromosikan oleh ADUN Johol sendiri.

Dalam ucapan beliau pada malam tersebut, YB Dato' Roslan berharap semua peserta akan menjadikan pengalaman tinggal bersama keluarga angkat sebagai satu pengalaman yang akan menjadi ingatan dan kenangan. Selain itu, pengalaman tersebut juga boleh dijadikan panduan dan pengajaran apabila keluar berkhidmat kepada masyarakat nanti kerana peserta telah melihat sendiri dengan lebih dekat segala permasalahan, kesulitan dan sebagainya di dalam kehidupan masyarakat khasnya masyarakat luar bandar.

No comments:

JOHOL MAJU, AMAN, SEJAHTERA