Saturday, July 17, 2010

RUKUNTETANGGA DANGI (KRT) JOHAN PERINGKAT KEBANGSAAN 2010

Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Dangi, Johol telah menjadi Johan dalam Pertandingan Anugerah Pengurusan Rukuntetangga Peringkat Kebangsaan Tahun 2010 yang telah diumumkan di MITC Melaka pada Bulan Jun 2010 yang lalu. Menerima hadiah berupa wang berjumlah RM 10,000.00, Trofi dan Sijil Penghargaan.

Pada tahun 2008, KRT Dangi menjadi Naib Johan Peringkat Kebangsaan.

Menurut YB Dato' Roslan, di DUN Johol terdapat 5 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) iaitu :
KRT Pekan Johol - Pengerusi : YB Dato' Roslan Md Yusof
KRT Dangi - Pengerusi : En. Lim Ba Ba
KRT Selaru - Pengerusi : En. Razali Rasid
KRT Kepis - Pengerusi : En. Ahad Amin
KRT Air Mawang - Pengerusi : Hj. Mustapha Malek

KRT Dangi merupakan sebuah KRT yang aktif dan telah banyak menempa kejayaan di peringkat daerah, negeri dan juga kebangsaan. Ditubuhkan sejak 18 tahun yang lalu, KRT ini merupakan sebuah KRT yang terdiri daripada berbilang kaum iaitu Melayu, Cina dan India. Lebih unik lagi, bilangan kaum-kaum yang terdapat di Dangi ini hampir sama ramainya dan mereka hidup dalam suasana harmoni, bersatu padu dan saling bekerjasama.

Di bawah kepimpinan pengerusinya En. Lim Ba Ba ( juga Pengerusi JKKK Kg. Baru Dangi) dan naib pengerusinya En. Hashim Mohd Yusof (juga Pengerusi JKKK Kg. Geduhom) serta setiausahanya yang aktif dan rajin iaitu Pn. Norhayati Abdullah, KRT Dangi bertambah maju dan cemerlang.

KRT ini mempunyai sebuah bangunan sendiri yang dibina pada tahun 2004 untuk menjalankan pelbagai aktiviti. Antara aktiviti mingguan yang dijalankan ialah Senamrobik dan Taichi, kelas masakan, pasukan kawalan sukarela, latihan kompang dan sebagainya.

Sebagai meraikan kejayaan KRT Dangi yang menjadi Johan di kalangan lebih 4000 KRT seluruh negara, YB Dato' Roslan Md Yusof yang merupakan ADUN Johol telah mengadakan satu majlis meraikan kejayaan tersebut di samping menyampaikan sijil-sijil perlantikan kepada semua pengerusi dan AJK rukun tetangga seluruh DUN Johol. Majlis telah diadakan pada bulan Jun 2010 yang lalu di Dewan Orang Ramai Johol.

YB Dato' Roslan mengucapkan setinggi tahniah kepada KRT Dangi dan sungguh berbangga di atas kejayaan tersebut. Beliau berharap KRT Dangi akan terus maju dan terus mencapai kejayaan pada masa hadapan. Di samping itu, beliau berharap kejayaan KRT Dangi ini akan memberi suntikan semangat kepada KRT yang lain khasnya di DUN Johol untuk mengikut jejak KRT Dangi ini.

No comments:

JOHOL MAJU, AMAN, SEJAHTERA