Tiga jambatan yang terletak di laluan Kuala Pilah -Tampin kebetulan berada di adalam Kawasan DUN Johol. Jambatan-jambatan tersebut ialah Jambatan Selaru (berhampiran SMAS K.Pilah), Jambatan Simpang Dangi dan Jambatan Air Mawang -Jeram (di sempadan K.Pilah-Tampin). Kebetulan ketiga-tiga jambatan tersebut terletak di selekoh berbahaya dan agak sempit, maka pengguna jalanraya berada dalam keadaan berbahaya apabila melalui jambatan-jambatan tersebut, terutama pada waktu malam, semasa hari hujan atau semasa berselisih dengan kenderaan berat.
Memandangkan jumlah kemalangan jalanraya yang semakin bertambah-tambah di ketiga-tiga jambatan tersebut termasuk kemalangan maut dan bilangan kenderaan yang menggunakan laluan tersebut juga semakin meningkat, maka pada tahun 2006, ADUN Johol telah membuat permohonan kepada kerajaan melalui Sidang Dewan Negeri untuk menaik taraf dengan melebar serta meluruskan ketiga-tiga jambatan tersebut bagi memudahkan pengguna jalanraya di samping dapat mengurangkan kadar kemalangan jalanraya.
Alhamdulillah, permohonan tersebut mendapat perhatian kerajaan dan mulai Jun 2010 kerja-kerja menaik taraf ketiga-tiga jambatan tersebut telah pun bermula dan dijangka siap pada tahun 2012. Kos setiap satu jambatan tersebut lebih kurang RM 2.5 juta. Semoga dengan siapnya kerja-kerja naik taraf jambatan-jambatan berkenaan, laluan di antara K.Pilah-Tampin akan bertambah lancar dan pengguna akan lebih selesa serta selamat.
1 comment:
Assalamualaikum YB Dato',
Saya merupakan salah seorang anak angkat DUN Johol yang menyertai Program Penempatan Daerah anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) baru-baru ini. Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Dato' dan penduduk di DUN Johol yang sudi menerima kehadiran kami selama 2 minggu di sini. Apa yang dapat saya perhatikan beberapa projek pembangunan sedang dilaksanakan di DUN Johol. Salah satu projek yang sedang giat dibangunkan adalah Klinik Kesihatan Johol yang baru. Kebetulan saya ditempatkan bersama keluarga angkat yang membuka gerai makanan berhadapan kawasan klinik tersebut. Daripada pemerhatian saya, kenderaan yang melalui jalan Kuala Pilah - Tampin bergerak laju dan membahayakan keselamatan penduduk kampung yang membelok ke simpang Kg. Melekai. Jalan yang agak sempit dan tiada double line di kawasan tersebut menyebabkan kemalangan mudah terjadi. Kebetulan satu kemalangan berlaku semasa saya sedang membantu di gerai. Saya dimaklumkan sebelum ini banyak kemalangan berlaku di situ dan pernah meragut nyawa seorang ahli keluarga angkat saya.
Maklumat ini merupakan input saya untuk perhatian dan budi bicara YB Dato' berdasarkan pemerhatian saya di sini.
Sekian, terima kasih.
Nurul Faiz Khairol Azmi
Post a Comment