Selain memperkenalkan dan mempopularkan KUIH APAM JOHOL, saya juga memperkenalkan MOTTO atau COGANKATA untuk Johol pada tahun 2005 yang boleh dijadikan sebagai arahtuju(target), panduan atau pun penyuntik semangat kepada rakyat Johol. Motto tersebut:
'JOHOL MAJU, AMAN, SEJAHTERA'
Huraian maksud:
'MAJU'
Membawa pengertian memajukan diri sendiri, keluarga, masyarakat, bangsa, agama, negeri dan negara. Memajukan diri iaitu dengan berilmu pengetahuan, berkemahiran, bijaksana di samping bersikap rajin, berfikiran rasional, berfikiran luas dan terbuka, bercita-cita tinggi, sanggup menerima perubahan dan kemajuan, sanggup bersaing, positif, berdisiplin dalam kehidupan, mempunyai jati diri yang tinggi, bersemangat, berjiwa patriotik, bertanggungjawab dan sebagainya. Memajukan keluarga pula ialah dengan memberikan pendidikan kepada anak-anak supaya mereka berakhlak mulia, berdisiplin, berilmu dan seterusnya. Apabila setiap individu atau anggota masyarakat dapat memajukan diri masing-masing, dengan sendirinya keluarga, komuniti, masyarakat, bangsa, agama, negeri dan negara akan turut maju. Lihat sahaja bangsa-bangsa yang maju di dunia ini, kemajuan mereka bermula dapada diri setiap individu bangsa itu sendiri. Jika setiap individu pada sesuatu bangsa itu lemah, malas, tidak berdisiplin, tidak berakhlak, tidak berilmu, jati diri yang lemah, tiada kemahiran, tidak sanggup bersaing dan sebagainya, akhirnya bangsa tersebut akan menjadi lemah, ketinggalan dan akhirnya dijajah oleh bangsa lain yang lebih maju.Oleh itu diharap dan didoakan agar setiap individu di DUN Johol khasnya dan di Malaysia amnya akan berusaha memajukan diri dan keluarga masing-masing.
'AMAN'
Apabila setiap individu mempunyai pemikiran rasional dan positif, berdisiplin, jati yang tinggi, berilmu, bijaksana, berakhlak mulia dan sebagainya,
dengan sendirinya keamanan dalam masyarakat, kampung, daerah, negeri dan negara mudah tercapai. Sebagai contoh, sesebuah keluarga yang mempunyai anggota (ibu bapa dan anak-anak)yang berilmu, berdisiplin, berakhlak mulia dan sebagainya, keluarga tersebut akan hidup dalam suasana aman, harmoni dan sentiasa berkasih sayang. Begitu jugalah sesebuah negara. Hubungan baik antara kaum juga perlu sentiasa dipelihara untuk menjaga keharmonian dan keamanan. Kemajuan hendaklah dicapai secara seimbang antara kaum-kaum. Jika tiada keseimbangan, keamanan juga sukar dicapai. Di DUN Johol terdapat pelbagai kaum. Mengikut pecahan, Melayu 70%, Cina 20", India 5%, Asli dan lain-lain 5%. Oleh itu setiap individu pada setiap kaum tersebut mesti memajukan diri masing-masing agar keseimbangan kemajuan antara kaum tercapai bagi mewujudkan keamanan. Kerajinan, kesungguhan, disiplin, ilmu pengetahuan, kemahiran dan sebagainya antara kaum hendaklah hampir sama untuk mewujudkan keseimbangan dan seterusnya menjaga keamanan. Contohnya, jika kaum A lebih rajin bekerja, mempunyai kesungguhan berusaha yang tinggi, berdisiplin, lebih berilmu dan berkemahiran manakala kaum lain tidak begitu, tentulah kaum A akan lebih maju dan kaum-kaum yang lain akan terus ketinggalan. Ini boleh menggugat keamanan.
Kerjasama setiap ahli masyarakat juga penting di dalam memelihara keamanan. Kejadian jenayah, rompakan, kecurian, pecah rumah, ragut, keruntuhan moral, pergaduhan, penyalahgunaan dadah, rempit dan sebagainya juga boleh menggugat keamanan serta keselesaan hidup. Oleh itu setiap anggota masyarakat mesti bersama-sama membantu membantras perkara tersebut demi menjaga keamanan. Jika sebahagian anggota masyarakat memberikan kerjasama manakala sebahagian lagi tidak bekerjasama, keamanan juga sukar dicapai.
'SEJAHTERA'
Kehidupan yang 'sejahtera' hanya boleh dicapai satelah adanya keamanan di samping mempunyai taraf kehidupan yang terjamin. Jika salah satu daripadanya tidak ada, kesejahteraan hidup juga tidak tercapai. Seseorang yang mempunyai kemewahan hidup dengan wang dan harta yang banyak tetapi tinggal di dalam kawasan, negeri atau negara yang tidak aman, tidak akan menikmati kesejahteraan hidup. Seseorang yang mempunyai imu, kemahiran dan kerajinan yang tinggi tetapi berada di dalam masyarakat, tempat, kawasan atau negara yang kacau-bilau tidak akan menikmati keselesaan serta kesejahteraan hidup. Begitu juga sebaliknya, seseorang yang berada di dalam kawasan, negeri atau negara yang aman damai tetapi dirinya sendiri tiada kemajuan akibat dari sikap malas, tiada ilmu dan kemahiran, tidak berdisiplin dan sebagainya juga tidak akan menikmati kesejahteraan dalam kehidupannya. Oleh itu 'kesejahteraan' hidup hanya boleh dicapai dengan adanya kemajuan dan keamanan.
No comments:
Post a Comment