Saturday, February 6, 2010

KUIH APAM JOHOL DAN SEJARAHNYA


Kuih ini asalnya adalah kuih apam yang biasa yang terdapat juga di tempat-tempat lain di Negeri Sembilan. Walaupun berbagai cara dan bentuk kuih apam dihasilkan seperti dibuat di dalam talam, diwarnakan dengan berbagai warna seperti warna merah, putih, pink, dibungkus dengan daun koko atau daun pisang malah ada yang dibuat menggunakan tepung beras, tetapi kuih apam Johol tetap dibuat dengan mengekalkan ciri-ciri tradisionalnya.
Pada mulanya kuih ini selalu dihidangkan di majlis-majlis jamuan sekitar Johol dan Kuala Pilah terutama dalam majlis jamuan anjuran UMNO bahagian. Biasanya apabila UMNO Bahagian K.Pilah mengadakan majlis jamuan, kuih apam akan ditempah dari Johol iaitu daripada salah seorang pembuat kuih tersebut Pn. Roah bt Md. Ali dari Kampung Padang Jual, Johol.
Memandangkan kuih ini mendapat sambutan baik dan mula digemari, akhirnya telah mendapat perhatian YB Dato' Roslan b. Md. Yusof, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Johol untuk mempopularkan kuih tersebut. Beliau telah meminta Pn. Roah untuk mengekalkan ciri-ciri tradisi pada kuih tersebut iaitu pembungkusnya menggunakan daun 'rambai', warnanya cokelat muda, rasanya sederhana manis dan ramuannya terdiri daripada tepung gandun serta gula merah atau gula melaka.
Untuk mempopularkannya, Dato' Roslan telah memperkenalkan kuih ini semasa ucapan penangguhan beliau pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sembilan tahun 2005 apabila menyentuh perkara-perkara berkaitan pelancongan dan makanan tradisional Negeri Sembilan. Dalam ucapan tersebut, beliau telah menerangkan mengenai ciri-ciri tradisional yang terdapat pada kuih ini. Seterusnya beliau terus menamakan kuih ini sebagai 'APAM JOHOL'
Akhbar-akhbar telah menyiarkan berita tentang kuih ini pada keesokan harinya. Berikutan dengan itu pihak akhbar juga telah datang ke Johol dan menemuramah pengusaha kuih ini serta mendapatkan maklumat yang lebih lanjut mengenai kuih apam johol ini. Akhbar 'Utusan Malaysia' pernah menyiarkan rencana yang lengkap mengenai kuih apam johol ini.
Sehingga kini, kuih apam johol telah dikenali hampir di seluruh Negeri Sembilan malah telah tersenarai sebagai salah satu daripada kuih tradisional Negeri Sembilan. Walau bagaimana pun hanya beberapa orang sahaja di Johol yang diperakui dapat menghasilkan kuih apam johol ini yang benar-benar 'menjadi'. Ada juga yang cuba-cuba menirunya tetapi tidak berapa 'menjadi' kerana ada juga rahsia-rahsia yang tidak 'diturunkan' oleh pembuat asalnya.
Kuih apam johol yang benar-benar 'menjadi' akan berbau wangi, lembut, tidak terlalu manis, merekah di bahagian atasnya, berwarna cokelat muda dan boleh tahan sehingga tiga atau empat hari jika disimpan dengan baik. Kuih ini juga sangat lazat jika 'dicicah' dengan sambal, rendang, bubur kacang, teh, kopi, kuah daging, kuah durian dan lain-lain.
Salah seorang daripada pengusaha kuih apam johol ini memberi tahu, beliau mendapat tempahan hingga 2000 unit setiap hari. Pada hujung-hujung minggu tempahan meningkat sehingga 5000 unit. Setiap hari beliau terpaksa menghantar kuih-kuih ini ke beberapa tempat di Seremban seperti restoran-restoran, kantin pejabat, PLKN, asrama-asrama sekolah malah beberapa hotel di Seremban dan Port Dickson juga selalu membuat tempahan. Pengusaha tersebut juga memberi tahu bahawa sejak dipopularkan kuih ini, beliau telah memperolehi pendapatan yang lumayan dan bercadang untuk memperbesarkan lagi perusahaan ini. Beliau juga terpaksa membeli 'daun rambai' yang digunakan untuk pembungkus kuih ini dengan harga 3 sen sehelai jika banyak tempahan diterima.

No comments:

JOHOL MAJU, AMAN, SEJAHTERA